Powered by Blogger.

Monday, January 20, 2014

KISAH BENAR SEORANG LELAKI DI TEGUR PUTERI BUNIAN DI GUNUNG NUANG


               

KISAH BENAR SEORANG LELAKI DI TEGUR PUTERI BUNIAN DI GUNUNG NUANG |  Seorang  lelaki di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, Rozi Sarip memiliki pengalaman selama 13 tahun menjadi pemandu arah pendaki-pendaki yang ingin mendaki Gunung Nuang melalui kampung kelahirannya.

Lelaki yang gemar tersenyum ini pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti pekerja kontrak, juruukur jalan dan pemetaan hutan.

Namun, selepas lebih 10 tahun merantau sekitar Semenanjung Malaysia mencari rezeki, lelaki yang mempunyai lima orang zuriat ini kembali ke kampung asalnya.

Hidupnya agak sederhana. Selain mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pendapatan utamanya ialah sebagai pemandu arah.

“Jika ada tetamu yang datang ke rumah, saya minta mereka bawa sahaja buah-buahan milik saya pulang kerana kuantitinya terlalu banyak setiap kali tiba musim buah,” cerita Rozi.

Namun, lelaki ini ada kisahnya yang tersendiri. Jika mendaki gunung, pasti dia akan memakai baju sejuk dan seluar jean.

Selain itu, Rozi hanya menggunakan selipar sebagai alas kakinya.


Orang bunian

Namun, Rozi juga teruja berkongsi kisah misteri yang pernah dialaminya di Gunung Nuang.

Pada tahun lepas, dia membawa sekumpulan pelajar universiti tempatan mendaki Gunung Nuang.

“Pendakian itu berlaku seperti biasa dan para peserta dapat bermesra dengan Orang Asli yang menetap di kaki bukit yang terletak 5,000 meter dari aras laut.

“Sebelum sampai ke puncak, mereka sempat bermandi-manda di kawasan air terjun selain berkhemah pada waktu malam,” ujarnya.

Namun, semasa dalam perjalanan pulang, dia terdengar suara wanita memberikan salam selain bertanya tujuan mereka mendaki gunung itu.

“Suara itu memberikan salam sebanyak tiga kali dan dia bertanyakan tujuan kami ke hutan itu. Pada mulanya, saya hanya mendiamkan diri sebelum menjawabnya.

“Saya berkata dalam hati bahawa rombongan saya sekadar ingin menumpang lalu dan tidak mempunyai niat lain,” kata Rozi.

Tambahnya, di hutan belantara itu bukan sahaja dipenuhi dengan flora dan fauna tetapi ia turut didiami makhluk halus dan jin.

“Justeru, adalah sebaik-baiknya kita meminta izin selain membaca doa tertentu (ketika berada di dalam hutan). Bukan menyekutukan Allah SWT tetapi berdoa supaya aktiviti yang dilakukan itu menjadi mudah tanpa sebarang gangguan,” katanya.


Rozi juga tidak dapat melupakan pengalamannya semasa dia menjala ikan di sebuah sungai di Janda Baik.

“Semasa itu, saya pergi menjala ikan bersama sepupu tetapi selepas dua jam, saya masih belum mendapat hasilnya.

“Saya dan sepupu berasa pelik kerana sebelum ini kami mendapat banyak tangkapan ikan kerana sungai itu sememangnya kawasan lubuk ikan,” katanya.

Namun, secara tiba-tiba, mereka ternampak kelibat seorang wanita berpakaian warna putih yang sedang membasuh baju.

“Wanita itu memakai baju berwarna putih sambil membasuh baju. Tetapi, saya tidak dapat melihat wajahnya kerana cuaca yang gelap.

“Paling mengejutkan, sepanjang wanita itu membasuh baju, tiada terdapat buih serbuk pencuci sedangkan berdasarkan fikiran logik, jika seseorang itu membasuh pakaian pastinya dia akan menggunakan serbuk pencuci,” katanya.

Rozi menganggap wanita itu ialah orang bunian.

“Saya kemudian berkata dalam hati meminta kebenaran untuk menjala ikan di kawasannya untuk menyara keluarga. Secara tiba-tiba wanita itu ghaib.

“Saya kemudian menjala ikan di kawasan wanita tadi dan agak mengejutkan saya dan sepupu memperolehi ikan sebanyak tiga guni beras selain bersaiz besar.

“Tetapi, ada juga syaratnya iaitu tidak boleh ditebar melebihi tiga kali kerana mungkin orang bunian itu juga memakan ikan di kawasan terbabit

“Sebenarnya hutan belantara ini memang banyak misteri yang tersembunyi,” katanya.

KISAH BENAR BAYI PEREMPUAN 7 BULAN TERKENA BADI MAYAT


KISAH BENAR BAYI PEREMPUAN 7 BULAN TERKENA BADI MAYAT | Terdapat sebuah kisah mengenai seorang bayi kecil yang terkena badi mayat apabila salah seorang dari ahli keluarganya telah menziarahi jenazah yang telah meninggal dunia di salah satu tempat. Kemudian apabila pulang tempat ziarah, ia terus menegur bayi yang dimaksudkan ini. Ikuti kisah ini yang mungkin boleh kita jadikan iktibar di kemudian hari.
Tragedi ini menimpa bayi perempuan saya, ketika itu masih berusia 7 bulan. Memang tidak bermaya, tidak tidur, tidak menangis, tidak ketawa, tidak makan. Ibu mana yang mampu menahan bila keadaan anak begitu. Saya bersama suami sering lakukan solat hajat untuk meminta Allah lindungi dan pelihara kesihatan dan kesejahteraan kami sekeluarga. Masa berlalu sehinggalah rumah ibu didatangi seorang lelaki yang agak berusia lewat 50 an dan memperkenalkan dirinya sebagai Cik Man, seingat saya waktu itu Hari Raya Aidil Adha.
Sesungguhnya kami sekeluarga memang tidak mengenali dan tidak pernah pula berkenalan dengan lelaki tersebut. Cik Man tu kata selepas beliau selesai solat Asar tak tahu pulak gerakan hati untuk ke rumah itu (rumah ibu). Beliau terus saja menjengah ke buaian anak saya sambil mengucap panjang. Beliau terduduk sambil memadang wajah seorang demi seorang. Beliau kata di dalam buaian itu bukannya anak saya tetapi wajah perempuan tua yang hampir kecut.
Ya Allah! Waktu itu rasanya kaki saya tidak mencecah ke bumi, terasa terlerai segala sendi yang ada. Cik Man tu menawarkan diri untuk mengubat bayi saya selama tiga hari (itu pun dengan izin dari Allah..katanya).
Dia meminta saya mendapatkan air lebihan mandian jenazah (air yang masih ada di dalam getah) dengan syarat yang meninggal mestilah seorang lelaki (sebab yang menumpang pada bayi saya adalah badi daripada mayat perempuan tua dan bukannya satu tetapi tujuh, benda tu menghuni di setiap sendi bayi perempuan saya) jika saya terlewat bayi saya mungkin turut meninggal.
Kerana terlalu risaukan keselamatan bayi saya, sehinggakan saya berdoa agar adalah orang yang meninggal pada hari itu. Hampir tiga jam saya bersama suami bertanya ke sana-sini, mencari rumah orang yang ada kematian. Dgn izin Allah saya terjumpa petang itu, Alhamdulilah. Petang itu Cik Man ke masjid dan dia hanya berpesan agar bayi saya yang sekecil itu dimandikan dengan menghadap ke kiblat berserta sepotong doa yang diberikan. Suami saya terus memandikan bayi perempuan saya seperti yang disarankan oleh Cik Man tadi. Selepas dimandikan separuh badan bayi saya (dari pinggang kebawah) bertukar menjadi lebam. Rupa-rupanya kami tersilap kerana mana ada jenazah perempuan orang lelaki yang mandikan. Sekali lagi hati saya tidak keruan, mencari hingga ke malam.
Keesokkannya pagi-pagi lagi saya telah ke rumah mayat Hospital Shah Alam, menanti kalau-kalau ada orang yang meninggal ketika itu. Allah Maha Penyayang dan akhirnya saya bertemu dengan kawan lama yang kebetulan kematian datuk. Saya meminta izin dari neneknya untuk meminta sedikit air lebihan mandian untuk membuat ubat anak saya. Saya menceritakan dengan linangan air mata, tersentuh hati saya bila nama bayi perempuan saya disebut.
Bila air itu sudah diperolehi terus saja saya serahkan kepada Cik Man (takut ada sebarang kesilapan lagi). Cik Man meminta saya memandikan bayi saya sendiri, tetapi saya tidak boleh kerana kedatangan haid, terpaksa ibu yang mengambil alih tempat saya. Cik Man berpesan apa jua yang berlaku pada malam itu beliau meminta kami semua bersabar dan sentiasa mengingati Allah SWT. Pintu dan tingkap diminta buka seluas-luasnya. Cik Man meminta ibu tanakkan sepiring pulut kuning. Benar seperti apa yang Cik Man katakan.
Malam itu adalah malam pertama saya mendengar tangisan bayi saya, tangisan yang saya rindu sejak beberapa bulan yang lalu.
Bayi saya meronta-ronta dan dengan spontan terasa seperti ada imbasan angin yang keluar terus menuju ke pintu dapur rumah ibu. Dalam masa yang sama terdengar suara ibu memekik dari dapur (seperti suara orang terperanjatkan sesuatu) tutup pengukus pulut itu dipenuhi cecacing dan ulat yang berwarna hitam. Adik lelaki saya mengucap dan terus membuang ulat-ulat itu ke longkang.
Bila kesemuanya telah selesai, Cik Man memberitahu kepada saya, suami dan keluarga yang ada. Ada seorang daripada ahli keluarga kami yang menziarahi jenazah yang meninggal dalam kemalangan, kemudian balik dari ziarah terus menegur bayi saya tu. Cik Man cakap itu badi mayat. Kebetulan waktu itu bapa saudara saya pula sampai ke rumah untuk bertanyakan khabar bayi saya.
Rupa-rupanya orang yang Cik Man maksudkan itu adalah bapa saudara saya, dia pun akui dan tak sangka perkara itu terjadi kepada bayi saya. Cik Man menawarkan diri sekali lagi untuk merawat bayi saya sehingga berusia setahun. Saya pernah sekali ke rumahnya dan membawa serba sedikit keperluan dapur untuk dia dan isterinya. Gembira dan bersyukurnya saya, kerana bayi saya sudah pandai bertatih. Sekian lama selepas segala kesulitan itu terurai, saya bercadang untuk menziarah Cik Man sambil membawa sedikit sedekah dan tanda terima kasih. Saya dan mencari alamat rumah seperti yang diberikan oleh Cik Man.
Apabila saya sampai ke alamat itu saya lihat di situ cuma ada sebuah rumah tinggal yang papannya sudah pun berlumut. Saya bertanya dengan kedai mamak yang berhampiran, tempat saya membeli keperluan dapur waktu pertama kali saya bertandang ke rumah Cik Man. Mamak tu kata rumah tu dah bertahun-tahun kosong, tuan rumah tu tak ada waris. Saya dan suami berpandangan sesama sendiri.
Barang yang telah terniat untuk Cik Man saya sedekahkan ke surau yang berhampiran. Terima kasih, saya sekeluarga terhutang budi kepada Cik Man (jika beliau masih hidup) dan saya sedekahkan Al-Fatihah buat Cik Man jika dia benar-benar sudah meninggal. Apa yang berlaku elok dijadikan pengajaran dan ikhtibar