Powered by Blogger.

Monday, January 20, 2014

KISAH BENAR SEORANG LELAKI DI TEGUR PUTERI BUNIAN DI GUNUNG NUANG


               

KISAH BENAR SEORANG LELAKI DI TEGUR PUTERI BUNIAN DI GUNUNG NUANG |  Seorang  lelaki di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, Rozi Sarip memiliki pengalaman selama 13 tahun menjadi pemandu arah pendaki-pendaki yang ingin mendaki Gunung Nuang melalui kampung kelahirannya.

Lelaki yang gemar tersenyum ini pernah melakukan pelbagai pekerjaan seperti pekerja kontrak, juruukur jalan dan pemetaan hutan.

Namun, selepas lebih 10 tahun merantau sekitar Semenanjung Malaysia mencari rezeki, lelaki yang mempunyai lima orang zuriat ini kembali ke kampung asalnya.

Hidupnya agak sederhana. Selain mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan, pendapatan utamanya ialah sebagai pemandu arah.

“Jika ada tetamu yang datang ke rumah, saya minta mereka bawa sahaja buah-buahan milik saya pulang kerana kuantitinya terlalu banyak setiap kali tiba musim buah,” cerita Rozi.

Namun, lelaki ini ada kisahnya yang tersendiri. Jika mendaki gunung, pasti dia akan memakai baju sejuk dan seluar jean.

Selain itu, Rozi hanya menggunakan selipar sebagai alas kakinya.


Orang bunian

Namun, Rozi juga teruja berkongsi kisah misteri yang pernah dialaminya di Gunung Nuang.

Pada tahun lepas, dia membawa sekumpulan pelajar universiti tempatan mendaki Gunung Nuang.

“Pendakian itu berlaku seperti biasa dan para peserta dapat bermesra dengan Orang Asli yang menetap di kaki bukit yang terletak 5,000 meter dari aras laut.

“Sebelum sampai ke puncak, mereka sempat bermandi-manda di kawasan air terjun selain berkhemah pada waktu malam,” ujarnya.

Namun, semasa dalam perjalanan pulang, dia terdengar suara wanita memberikan salam selain bertanya tujuan mereka mendaki gunung itu.

“Suara itu memberikan salam sebanyak tiga kali dan dia bertanyakan tujuan kami ke hutan itu. Pada mulanya, saya hanya mendiamkan diri sebelum menjawabnya.

“Saya berkata dalam hati bahawa rombongan saya sekadar ingin menumpang lalu dan tidak mempunyai niat lain,” kata Rozi.

Tambahnya, di hutan belantara itu bukan sahaja dipenuhi dengan flora dan fauna tetapi ia turut didiami makhluk halus dan jin.

“Justeru, adalah sebaik-baiknya kita meminta izin selain membaca doa tertentu (ketika berada di dalam hutan). Bukan menyekutukan Allah SWT tetapi berdoa supaya aktiviti yang dilakukan itu menjadi mudah tanpa sebarang gangguan,” katanya.


Rozi juga tidak dapat melupakan pengalamannya semasa dia menjala ikan di sebuah sungai di Janda Baik.

“Semasa itu, saya pergi menjala ikan bersama sepupu tetapi selepas dua jam, saya masih belum mendapat hasilnya.

“Saya dan sepupu berasa pelik kerana sebelum ini kami mendapat banyak tangkapan ikan kerana sungai itu sememangnya kawasan lubuk ikan,” katanya.

Namun, secara tiba-tiba, mereka ternampak kelibat seorang wanita berpakaian warna putih yang sedang membasuh baju.

“Wanita itu memakai baju berwarna putih sambil membasuh baju. Tetapi, saya tidak dapat melihat wajahnya kerana cuaca yang gelap.

“Paling mengejutkan, sepanjang wanita itu membasuh baju, tiada terdapat buih serbuk pencuci sedangkan berdasarkan fikiran logik, jika seseorang itu membasuh pakaian pastinya dia akan menggunakan serbuk pencuci,” katanya.

Rozi menganggap wanita itu ialah orang bunian.

“Saya kemudian berkata dalam hati meminta kebenaran untuk menjala ikan di kawasannya untuk menyara keluarga. Secara tiba-tiba wanita itu ghaib.

“Saya kemudian menjala ikan di kawasan wanita tadi dan agak mengejutkan saya dan sepupu memperolehi ikan sebanyak tiga guni beras selain bersaiz besar.

“Tetapi, ada juga syaratnya iaitu tidak boleh ditebar melebihi tiga kali kerana mungkin orang bunian itu juga memakan ikan di kawasan terbabit

“Sebenarnya hutan belantara ini memang banyak misteri yang tersembunyi,” katanya.

0 comments:

Post a Comment